Skip to main content

Kisah Guru Baharu


 Kisah Tahun 1995   

         Letih-letai hari itu. Mengajar kelas peralihan  yang sama,  Dua waktu untuk Bahasa Melayu dan dua waktu untuk Amalan Bahasa Melayu . Seramai 40 otrang pelajar . 90 peratus tidak memahami Bahasa Melayu. Boleh membaca tetapi tidak tahu makna. Nakalnya pula...Masya-Allah !

    Sudah lama aku perhatikan anak murid aku yang seorang ini. Di dalam kelas dia tidur selalu. Bila ku kejutkan cara  lemah lembut dia buat muka tak tahu. Terpisat-pisat angkat muka, pandang mukaku sambil menggosok-gosok mata dan letak kepala semua di atas meja.  Begitulah berulang kali. Geram tidak terkata, aku hentak mejanya, tidaklah terlalu kuat tetapi cukup mengejutkannya. 

       Reaksinya di luar dugaan. Mungkin terkejut mimpi indahnya kugugat, dia jadi berang. Dengan wajah penuh amarah, dia mengangkat kerusi tinggi separas dadanya. Matanya tajam merenungku. Analisis mindaku dapat mencerna dia ingin menghentam aku. Astagfirullah. Aku sedang memboyot masa itu, 8 bulan mengandungkan zuriat sulung.   Ini kes serius, dia nak pukul aku ni. Ya Allah, tolong aku ! . Jerit batinku sambil merenung ke  dalam matanya dan beralih kepada  kerusi di tangannya. kami berbalas renungan.Matanya tajam mengancam. Tiada kata-kata terlafaz dari mulut masing-masing. Hanya tatapan mata kebencian daripada matanya yang ku balas dengan tatapan mata keberanian  bersulam kekuatan. Entah dari mana datangnya ilham,  aku membaca sebaris kalimat suci penuh yakin dan bertawakal  di dalam hati 
.
"Summun bukmun AAumyun fahum la yarjiAAoona"
,"Yang tuli, pekak dan bisu , mereka tidak kembali ke jalan yang benar"

    Ayat al-Quran ini  lazimnya ku baca saat  dikejar anjing  pada zaman aku kecil dahulu. Matanya masih tajam ku renung. 

    Budak itu tiba-tiba menjatuhkan kerusi ke lantai dan berlari keluar kelas, Tanpa menoleh ke belakang lagi. Beg sekolahnya juga ditinggalkannya .

Aku bergegas berjumpa pengetua saat waktu mengajarku tamat. Tidak sukar aku mendapatkan pengertiannya kerana pelajar itu memang pelajar bermasalah . Beberapa orang guru telah melaporkan perihal kenakalan pelajar tersebut.

  Tengah hari itu , ibu pelajar berkenaan berjumpaku merayu anaknya tidak dibuang sekolah. Rupa-rupan pengetua dan badan disiplin memang menantikan saat terbaik untuk menyingkirkan pelajar tersebut, Sudah terlalu banyak kesalahannya di sekolah.

    Terus terang aku sungguh kasihan kepada ibunya. Aku sendiri terkejut dengan keputusan pihak sekolah. Dalam usia sementah itu apalah yang boleh dilakukannya jika dibuang sekolah. Ngeri aku memikirkan masa depan. Aku tak mahu dia menjadi ahli kongsi gelap atau terlibat dengan gejala sosial jika berhenti sekolah.

        Namun apa dayaku. Pengetua sudah pasti mempunyai rasionalisasi atas tindakannya.Kepada ibu tersebut aku mohon maaf kerana keputusan telah dibuat dan aku tidak boleh menolongnya. Aku menasihatinya supaya membuat rayuan di Jabatan pendidikan Wilayah Persekutuan. Anaknya mungkin boleh ditempatkan di sekolah lain. 

Comments