Skip to main content

GURU BAHASA MELAYU TERAKHIR


     Hari  ini terasa seperti berjuang sendirian.  Tiada siapa peduli. Ada aku kesah?  agaknya begitulah. kadang-kadang rasa  syok sendiri pun ada. Rasa bersalah kerana terasa bersikap prejudis pun ada, Entah yang mana satu pun tak ku tahu. Yang jelas medan rasa kurang enak itu memang telah hadir.

     Begini ceritanya...aku melatih anak-anak didikku berforum. dengan bahasa indah, Bahasa santun ku ajarkan kepada mereka.   Laras bahasa ilmiah yang penuh keindahan berbahasa ku dedahkan kepada mereka. Mereka berlatih bersungguh. Menghafal skrip,  melatih diri menjawab soalan spontan dan memperbaiki sebutan baku.

    Akhirnya mereka mencipta sejarah.  Piala Johan Daerah Pertandingan Forum Remaja menjadi milik mereka.  KISAS , pasukan yang tak pernah kecundang peringkat daerah tumpas di tangan  mereka. Lalu hari ini Puan pengetua menyampaikan hadiah kepada pemenang di tapak perhimpunan. Sungguh aku terkejut, saat anak-anak didikku ke pentas tiada tepukan kedengaran. Lebih 600 orang pelajar  berada di medan perhimpunan, namun tepukan tak ku dengar, baik daripada pelajar mahupun guru.

    Aku berasa sunyi dalam hati . Rasa sendiri. Rasa keseorangan.  Kiranya perjuangan memartabatkan bahasa ini  hanya memberi makna buat diriku sendiri.  Akukah Guru Bahasa Melayu terakhir pada abad ke-21 ini?

Comments