Skip to main content

NOSTALGIA MENYAMBUT HARI GURU

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
MAMPUKAH SAYA?
SAYA HANYA GURU KERDIL..

PADA SAAT, SEMUA RAKAN GURU MEMUAT NAIK  FOTO-FOTO SAMBUTAN, JUSTERU, SAYA LEBIH GHAIRAH  MENGEMAS KINI BLOG-BLOG SAYA
WALAUPUN  ENTRI BLOG INI  MUNGKIN TAK DIBACA SESIAPAPUN..

SAMBUTAN  HARI GURU BUKAN PADA 16 MEI?


     Beberapa tahun belakangan ini , Detik 16 MEI tidak disambut secara total sebagai Hari Guru. Sambutan pada hari itu lazimnya ialah sambutan rasmi dengan Bacaan Perutusan Hari Guru daripada Menteri pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Fenomena ini sering tak mampu dielakkan kerana pada tarikh tersebut murid-murid sedang bergelut meluahkan buah fikir pada  kertas peperiksaan dan guru-guru juga sedang begitu sibuk memamah dan menelusuri setiap inci skrip jawapn murid-murid. Kedengaran juga rungutan daripada para guru bahawa sambutan di luar detik waktu 16 Mei terasa hambar dan kurang bermakna walau bagaimanapun indah pengisiannya.  Bagi saya, apa-apa sahaja 'boleh'. Saya sudah terbiasa mengikut keputusan pentadbir atau suara ramai, Bila, di mana atau bagaimana hari guru disambut tidak menjadi soal buat saya.


PENGHUJUNG SEMESTER UNTUK MERAI JIWA GURU

    Hari ini, hari terakhir sebelum cuti pertengahan tahun, , Saya   diizinkan Allah   menyambut Hari Guru yang  ke-21  di sebuah sekolah  primer yang tersohor di daerah Klang dan di Negeri Selangor rasanya. Perasaan saya ?? terus terang,  biasa-biasa sahaja. Tidak  terlalu bahagia , namun tidak  ada sedikit pun gundah gulana walaupun sepanjang 21 tahun khidmat saya, saya tak pernah  naik ke pentas menerima sebarang hadiah pengiktirafan daripada  murid-murid seperti anugerah 'Guru Popular", 'Guru Kreatif pengajaran ", Guru Penyayang", "Guru Paling Tegas."Guru Paling Bergaya" 'Guru Paling Sporting" atau apa-apa sahaja istilah dan gelaran buat cikgu-cikgu pilihan.









Dendangan Lagu "Kami Guru Malaysia"
SIAPA SAYA DI HATI KALIAN ??

      Secara luarannya,  yang tersurat memang  jelas iaitu  saya tidak pernah bertakhta di hati murid-murid, namun saya tak pernah berkecil hati  kerana bagi saya murid-murid yang masih mentah , menilai dan memilih mengikut  apa-apa yang mereka suka dan belum tentu apa-apa yang baik buat mereka. Bukanlah saya berhasrat menidak-nidakkan guru pilihan murid-murid kerana guru-guru tersebut telah terbukti mempunyai lebih  ciri-ciri dan berjaya  memenuhi spesifikasi personaliti  yang disukai  murid-murid berbanding diri saya yang kerdil ini. 

     Dalam sesi muhasabah atau restropeksi diri , saya selalu melihat jauh ke dalam diri. Saya seorang yang serius, hampir tidak ada kemahiran bercanda, namun masih boleh ketawa apabila orang bercanda. Ramai rakan yang memberikan komen wajah saya ketat, masam dan sukar tersenyum menyebabkan saya kelihatan sombong. Namun apabila sudah mengenali dan berbicara  dengan saya , mereka mengatakan  saya peramah dan sebenarnya mudah  didekati .  Mungkin personaliti ini menyebabkan murid-murid menjarakkan diri daripada saya.  

     Saya juga mengakui  10 tahun pertama menjadi pendidik, saya gagal memenuhi  kualiti unggul seorang guru    yang antaranya ceria dan mempunyai unsur kecindan .Saya tahu wajah  masam dan tidak ceria seorang guru bagaikan cas negatif  akan menolak segala pandangan positif  murid kepada guru. Cukuplah kalau saya katakan saya tak mampu tersenyum pada saat itu kerana beratnya beban fikir dan tanggungjawab yang perlu saya galas . Bukan saya ingin menutup kekurangan dengan memberikan alasan , bukan juga mekanisme helah bela diri .Hakikatnya, hanya yang mengerti sudi  berkongsi liku-liku perjalanan hidup saya yang membentuk personaliti saya yang begitu.


     Hari ini saya cuba untuk menjadi guru yang berjiwa dan berjati diri guru. Saya rasa  saya sudah  matang setelah 21 tahun berkhidmat. Alhamdulillah, saya sudah  bijak mencari hikmah dan segala yang tersirat  di  sebalik yang  tersurat Jika umur saya panjang , diberikan kesihatan dan kekuatan untuk berkhidmat, saya mungkin akan menyambut hari guru sehingga tahun 2029 iaitu  tahun saya akan bersara wajib. Ada sahabat guru yang menyambut hari guru terakhir tahun ini .Ada keceriaan pada wajah mereka saat diraikan dan diumumkan bahawa  tahun ini merupakantahun terakhir  menyambut hari guru. Sungguh saya kagum akan mereka. Setia  sehingga 30 tahun dalam profesion ini bukan suatu yang mudah, lebih-lebih dalam sepuluh tahun dekad ini. Berhadapan dengan generasi muda alaf ke-21 jelas sungguh menduga kesabaran .


Enam orang guru  'otai' yang akan bersara  2016/2017 bersama-sama Pengetua

NOSTALGIA INDAH SAMBUTAN HARI GURU

     Dalam kerjaya ini, saya juga menyimpan nostalgia indah . Saat menjadi guru tingkatan di sebuah sekolah Perempuan di Klang,  saya pernah di'ratu'kan oleh anak-anak didik, Kad Hari Guru paling besar, cincin emas, bunga dan coklat, antara hadiah paling 'win' saya terima.  Saya pernah  juga rasa terharu tak terucap saat anak didik saya mendeklamasikan sajak yang dikarang  khusus buat saya  dalam persembahan Hari Guru di sebuah sekolah pinggir Kuala Lumpur.

    Cukuplah rasanya kenangan-kenangan indah sambutan hari guru itu buat saya. Terima kasih kepada semua anak didik saya. Moga dapat memaafkan kekhilafan saya sepanjang saya mencurahkan ilmu yang mungkin tak tersampai sepenuhnya, Mohon dihalalkan masa kalian yang saya terambil.  


Kredit dan terima kasih daun keladi   buat Ashyek Ilahi yang  menyumbangkan gambar-gambar ini.

Comments